MANILA, 3 Okt – Filipina sedang giat meninjau peluang usaha sama bagi pembangunan lapangan terbang di negara itu.

Timbalan Setiausaha Penerbangan dan Lapangan Terbang, Jabatan Pengangkutan Filipina Roberto Lim berkata pihaknya turut menggunakan kaedah kerjasama awam-swasta untuk mengurangkan beban operasi lapangan terbang serta dari segi sumber kewangan yang diperlukan.

“Ini adalah pendekatan yang kami lakukan bagi meringankan beban dan mengurangkan cabaran yang ada,” katanya pada Sidang Kemuncak Penerbangan Filipina 2024 hari ini. 

Mengulas selanjutnya, Lim turut menekankan kepentingan mempunyai rangka kerja kawal selia yang teguh serta responsif dalam mencapai matlamat pengembangan.

Sehubungan itu, kerajaan Filipina meneruskan proses pentadbiran seperti menghapuskan konflik dengan mempunyai satu entiti di lapangan terbang sementara menunggu aspek perundangan yang bertujuan mengekalkan manfaat matlamat penerbangan. 

“Bidang lain yang memerlukan penambahbaikan adalah perkhidmatan operasi, aspek pergerakan penumpang yang cekap, barangan, keselamatan dan pengawasan lapangan terbang, navigasi udara, pembangunan insan dan modal serta penyahkarbonan dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kesemua peluang itu mempunyai potensi cerah atau peluang yang besar.

Pada masa sama, Lim turut mengakui Filipina masih ketinggalan dalam aspek pembangunan lapangan terbang berbanding jirannya di ASEAN.

“Tahun ini misalnya tiada satu pun lapangan terbang Filipina tersenarai dalam 100 Lapangan Terbang Teratas Skytrax bagi Kedudukan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang, namun kami sedang berusaha untuk ke arah itu,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat sebanyak lima lapangan terbang disenaraikan untuk pemuktamadan bidaan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi projek kerjasama awam-swasta.

Filipina mempunyai sebanyak 90 lapangan terbang, termasuk 50 daripadanya yang sedang dibangunkan menggunakan dana kerajaan.

Lim berkata Jabatan Pengangkutan juga sedang meneliti untuk mewujudkan agensi bebas atau usaha sama di bawah skim PPP bagi mengurus dan mengendalikan sistem pengurusan trafik udara negara secara persendirian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here