SACRAMENTO, 7 Okt – Hospital di seluruh AS sedang menghadapi kekurangan cecair intravena (IV) akibat Taufan Helene yang menjejaskan kemudahan pembuatan IV utama di negara itu.

Kilang Baxter International di North Cove di Carolina Utara, pembekal utama cecair IV ke hospital masih ditutup pada Sabtu kerana kemudahan itu teruk dilanda banjir, mengganggu rantaian bekalan cecair IV negara.

Sementara itu, jambatan menuju ke kemudahan Baxter juga mengalami kerosakan teruk, menyukarkan usaha pembaikan dan pemulihan.

Kilang di North Cove menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada cecair IV yang digunakan di AS. Menurut Persatuan Hospital California, banyak hospital dijangka hanya menerima 40 peratus daripada bekalan biasa mereka daripada Baxter.

Menurut laporan CBS, sistem penjagaan kesihatan di seluruh negara sedang melaksanakan langkah penjimatan dan meneroka kaedah penghidratan alternatif untuk mengatasi kekurangan itu.

Sebagai tindak balas kepada krisis itu, pengeluar lain seperti B. Braun dan ICU Medical sedang meningkatkan pengeluaran untuk membantu memenuhi permintaan. 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat sedang bekerjasama rapat dengan Baxter dan mempertimbangkan untuk mengimport cecair IV buat sementara bagi mengatasi kekurangan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here