MANILA, 15 Okt – Filipina dan Malaysia menyuarakan minat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan serta usaha tindak balas bencana, menurut kenyataan Malacañang pada Selasa.

Rancangan untuk memperkukuh kerjasama itu dibangkitkan ketika Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Malacañan, Manila pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Marcos Jr. dan Ahmad Zahid membincangkan bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk memperkukuh daya tahan bencana, menurut Pejabat Komunikasi Presiden (PCO).

Ahmad Zahid menyebut mengenai pasukan khas Malaysia yang dikenali sebagai SMART Team, yang boleh ditugaskan ke Filipina semasa taufan dan bencana dengan persetujuan Presiden.

Marcos Jr menyambut baik tawaran daripada Malaysia dan berharap ia dapat direalisasikan “secepat mungkin apabila semua pihak bersedia.”

“Kami bertukar pandangan mengenai pengurangan risiko bencana dan pengurusan, dan saya berterima kasih atas tawaran Malaysia untuk bekerjasama dalam sektor kritikal ini untuk usaha tindak balas dan menyelamat di masa hadapan,” kata Marcos Jr dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan kemajuan teknologi melalui pendidikan teknikal.

Menurut PCO, Marcos dan Ahmad Zahid bersetuju bahawa adalah penting untuk mempunyai lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran teknikal dan profesional bagi memenuhi keperluan dunia yang semakin berubah dan memacu pembangunan.

Marcos memberitahu Ahmad Zahid bahawa Filipina mempunyai “tenaga kerja yang sangat baik,” menggambarkannya sebagai muda, rajin, dan terlatih.

“Rakyat Filipina biasa bekerja dengan entiti asing kerana diaspora kami. Tetapi kami perlu melatih mereka. Selepas Covid, semuanya baharu. Teknologi telah berubah,” katanya.

Dengan sebahagian besar penduduk negara itu bekerja di luar negara, Marcos berkata kerajaan menerapkan sistem latihan kemahiran, menyediakan pengetahuan khususnya dalam pembinaan untuk melatih tukang paip, juruelektrik dan tukang kayu.

Ahmad Zahid pula berkata Malaysia memberi tumpuan untuk menggalakkan pelajar memilih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia ingin belajar daripada sistem pendidikan Filipina.

Marcos menekankan bahawa dalam Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang baharu sahaja melabuhkan tirainya, pemimpin Asia Tenggara bersetuju bahawa tenaga kerja yang terlatih adalah penting untuk ekonomi yang kukuh.

Filipina dan Malaysia adalah anggota ASEAN.

Pada 2023, Malaysia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Filipina daripada 230 negara, dengan jumlah dagangan mencecah US$8.15 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here