PUTRAJAYA, 15 Okt – Persidangan Antarabangsa Mengenai Rundingan Perkhidmatan Udara (ICAN) 2024 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dijadualkan berlangsung di Malaysia dari 21 hingga 25 Okt ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), acara berprestij itu bakal menghimpunkan peneraju industri penerbangan global, penggubal dasar dan pakar industri untuk terlibat dalam rundingan peringkat tinggi, bertujuan memajukan keterhubungan udara global.

“ICAN2024 berfungsi sebagai platform utama bagi negara-negara anggota ICAO untuk merundingkan perjanjian perkhidmatan udara dan hak trafik dengan berkesan.

“Perjanjian-perjanjian ini ialah asas kepada pembangunan pengangkutan udara antarabangsa, meningkatkan akses kepada pasaran baharu, mengembangkan pelancongan dan memacu pertumbuhan ekonomi untuk semua negara yang mengambil bahagian,” menurut kenyataan MOT hari ini.

Menurut MOT, ICAN2024 menawarkan peluang yang tepat pada masanya untuk menyokong kebangkitan semula perjalanan udara antarabangsa yang semakin pulih daripada pandemik COVID-19

“Persidangan itu akan membantu membentuk masa depan penerbangan, dengan perbincangan yang merangkumi topik penting seperti kelestarian, transformasi digital dan keselamatan dalam pengangkutan udara,” katanya, sambil menambah lebih 80 negara dijangka menghadiri acara itu.

MOT memaklumkan ICAN2024 akan meningkatkan status Malaysia sebagai hab utama bagi diplomasi penerbangan selain menyediakan peluang yang signifikan untuk pembangunan pelancongan dan perniagaan.

“Acara ini juga akan membolehkan Malaysia mempamerkan infrastruktur penerbangan bertaraf dunia, keupayaan perkhidmatan dan hospitaliti yang terkenal, serta memupuk kerjasama dan perkongsian baharu untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

Antara tumpuan utama ICAN2024 ialah Rundingan Perkhidmatan Udara memandangkan acara bertahap antarabangsa itu membolehkan negara peserta menjalankan pelbagai rundingan perkhidmatan udara di satu lokasi iaitu suatu kaedah yang cekap dan kos efektif untuk mencapai kerjasama yang meningkatkan kesalinghubungan udara global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here