KUALA LUMPUR, 15 Okt – Brazil menjangka dapat meneroka pelbagai peluang baharu bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan diplomasi serantau dengan Malaysia dan ASEAN tahun hadapan, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.

Duta Besar Brazil ke Malaysia, Ary Norton de Murat Quintella optimis bahawa dialog antara kedua-dua negara akan bertambah erat pada tahun-tahun mendatang, susulan perkembangan positif dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara tahun ini.

“Kami (Brazil dan Malaysia) tidak pernah seakrab ini seperti hari ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Quintella berkata, jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro bulan depan adalah bukti pengukuhan hubungan Brazil-Malaysia sejak dua tahun lepas.

Duta besar yang juga merupakan Dekan Kedutaan Latin Amerika di Malaysia berkata, Brazil menjadi rakan dialog sektoral ASEAN sejak 2022, dan sejak itu negara berkenaan terlibat dalam perbincangan dengan blok berkenaan berhubung kerjasama dalam beberapa bidang.

Menurut Quintella, Brazil akan mengambil alih jawatan presiden BRICS (akronim bagi kumpulan yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, dan China) tahun hadapan, menjadikan 2025 tahun yang penting bagi kedua-dua negara, Brazil dan Malaysia.

Beliau berkata Bidang Kerjasama Praktikal Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Brazil 2024-2028 mengenal pasti empat sektor iaitu kerjasama politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan kerjasama merentas sektor.

Festival Amerika Latin yang diadakan awal bulan ini adalah satu daripada inisiatif dalam kerjasama sosio-budaya, katanya.

Satu lagi inisiatif ialah edisi kedua Festival Filem Brazil yang dijadualkan berlangsung pada Disember ini susulan kejayaannya pada tahun lalu, kata Quintella.

Edisi tahun ini akan memaparkan filem eksklusif oleh pengarah Wanita.

Mengulas mengenai BRICS tahun depan, Quintella menekankan bahawa negara itu akan memberi tumpuan kepada memajukan perbincangan mengenai keperluan untuk mereformasi institusi tadbir urus global, khususnya berkaitan dengan sistem kewangan dan monetari antarabangsa.

Beliau berkata, topik seperti pembiayaan mampan, kerjasama cukai dan pengaturan pembayaran menggunakan mata wang tempatan akan dibincangkan.

Secara ringkas, Brazil sebagai peneraju BRICS akan meneruskan usaha yang telah dilakukan semasa memimpin G20 tahun ini dalam menangani isu seperti memerangi kelaparan, kemiskinan, dan ketidaksamaan, serta mempromosikan pembangunan mampan dan reformasi tadbir urus global, tambah Quintella.

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos semasa majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane pada 11 Okt.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here