NAPLES, 21 Okt Ketua pertahanan Jepun, Britain dan Itali pada Sabtu bersetuju untuk mempercepatkan pembangunan bersama jet pejuang generasi baharu mereka, menurut pegawai Jepun.

Menurut Agensi Berita Kyodo, semasa mesyuarat di Naples, selatan Itali, ketiga-tiga menteri juga mengesahkan bahawa sektor awam dan swasta akan memuktamadkan kontrak pertama mereka seawal tahun depan, dengan matlamat untuk mula menggunakan pesawat itu menjelang 2035, menurut Kementerian Pertahanan Jepun.

Menteri Pertahanan Jepun Gen Nakatani, bersama rakan sejawatnya dari Britain dan Itali, John Healey dan Guido Crosetto, bertemu di luar sidang pertama para menteri bidang pertahanan negara Kumpulan Tujuh (G7) yang diadakan buat pertama kali.

Dengan wakil Jepun dijangka mengetuai organisasi antarabangsa yang akan menguruskan projek itu, yang dinamakan Program Udara Tempur Global, Nakatani berkata selepas pertemuan, beliau merancang untuk melantik Masami Oka, bekas naib menteri pertahanan untuk hal ehwal antarabangsa, ke jawatan tersebut.

Organisasi itu yang dikenali sebagai Pertubuhan Kerajaan Antarabangsa GCAP, yang digelar GIGO, dijangka ditubuhkan di Britain akhir tahun ini.

Para menteri turut mengambil maklum kemajuan yang dicapai dalam penubuhan usaha sama sektor swasta untuk memudahkan pembangunan jet pejuang.

Syarikat Mitsubishi Heavy Industries Ltd. dari Jepun, BAE Systems plc dari Britain, dan Leonardo S.p.A. dari Itali akan menjadi syarikat utama yang bertanggungjawab dalam pembangunan itu.

Rancangan jet pejuang tiga hala mencerminkan kerjasama keselamatan yang lebih erat antara Jepun dan negara Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di tengah peningkatan ketenteraan China di kawasan Indo-Pasifik dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak Februari 2022.

Nakatani telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shigeru Ishiba yang memegang jawatan pada 1 Okt.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here