CHISINAU, 21 Okt – Moldova mengadakan pilihan raya presiden pada Ahad bersama-sama referendum untuk meminda perlembagaan bagi memasukkan aspirasi keanggotaan EU.

Kedua-dua pilihan raya dan referendum akan diiktiraf sah sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 33.3 peratus. Lebih 2,200 pusat pengundian di Moldova dan 234 tempat mengundi di luar negara mula beroperasi pada Ahad.

Setakat 0700 GMT, peratusan keluar mengundi untuk pilihan raya presiden melebihi 7.5 peratus, manakala bagi referendum, peratusan pengundi adalah 2.66 peratus setakat 0600 GMT, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Angelica Caraman dalam satu taklimat.

“Lebih 200,000 orang mengambil bahagian dalam pengundian, melebihi 7.5 peratus pengundi. Kami menyediakan maklumat dalam talian mengenai jumlah pengundi yang hadir di pusat pengundian. Kami menerima data mengenai referendum secara berasingan daripada rakan sekerja kami di pusat pengundian. Setakat 9.00 pagi waktu tempatan, 72,364 pengundi telah mengambil bahagian dalam referendum, iaitu 2.66 peratus pengundi,” kata Caraman.

Sebelas calon bertanding untuk jawatan presiden Moldova. Persaingan utama berlaku antara penyandang jawatan, Maia Sandu, bekas pendakwa raya negara, Alexandr Stoianoglo dan pemimpin Our Party, Renato Usatii. Pusingan kedua pilihan raya presiden mungkin akan diadakan pada 3 Nov sekiranya tiada calon memperoleh 50 peratus undi dalam pusingan pertama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here