JAKARTA, 21 Okt – Presiden Indonesia kelapan, Prabowo Subianto menaiki kenderaan presiden khas, MV3 Garuda Limousine, yang dihasilkan oleh syarikat senjata milik negara, PT Pindad, dari Kompleks Perundangan Senayan ke Istana Negara di sini pada Ahad.

Prabowo menaiki MV3 Garuda atau Maung Garuda berwarna putih selepas upacara angkat sumpah di Kompleks Parlimen Senayan. Ini adalah kali pertama kenderaan presiden itu diperkenalkan kepada umum, lengkap dengan plat kenderaan bertulis “Indonesia”.

“Sudah tentu, kami berbangga kerana kenderaan terbaru kami, MV3 Garuda Limousine, hasil kerja anak bangsa, digunakan dalam saat bersejarah ini,” kata pengarah urusan PT Pindad, Abraham Mose dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan terima kasih kepada Prabowo atas kepercayaan yang terus diberikan kepada PT Pindad.

Sementara itu, pengarah teknologi dan pembangunan PT Pindad, Sigit P. Santosa berkata Prabowo akan menjadi orang pertama yang menggunakan kenderaan buatan dalam negara itu.

Maung Garuda merupakan SUV 4×4 taktikal ringan yang direka untuk menyokong operasi pertempuran jarak dekat dan mengharungi laluan yang sukar.

Berdasarkan laman rasmi Pindad, Maung direka untuk kebolehgerakan yang tangkas dan boleh dipercayai bagi menyokong mobiliti penggunanya dalam pelbagai bidang operasi.

SUV ini mempunyai kelajuan selamat 120 kilometer sejam, transmisi manual enam kelajuan dan jarak perjalanan sehingga 800 km.

Maung boleh dilengkapi dengan pendakap senjata 7.62 mm, konsol senjata SS2 V4, peranti navigasi GPS, penjejak kenderaan dan peralatan lain.

Kereta empat penumpang itu seberat 2,160 kilogram dan boleh diubah suai untuk pelbagai kegunaan.

Bagaimanapun, kenderaan untuk Prabowo diubah suai dengan gaya Eropah yang dilengkapi rim krom. Di belakangnya, terdapat logo “GARUDA”.

Prabowo sering dirujuk dengan nama kod “Garuda”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here