BANGKOK, 22 Okt – Permohonan pelaburan di Thailand dari Januari hingga September meningkat 42 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada keseluruhan 722.52 bilion baht (US$21.62 bilion), mencatat rekod tertinggi dalam tempoh sedekad berikutan lonjakan besar dalam pelaburan asing, lapor Xinhua yang memetik data rasmi pada Isnin.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, permohonan pelaburan keseluruhan di negara Asia Tenggara itu meningkat 46 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 2,195 projek, manakala pelaburan langsung asing meningkat 38 peratus kepada 546.61 bilion baht (US$16.36 bilion), menurut Lembaga Pelaburan (BOI).
Lonjakan komitmen pelaburan ini menunjukkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap Thailand sebagai hab strategik yang selamat dan berdaya tahan untuk industri teknologi utama, kata Setiausaha Agung BOI Narit Therdsteerasukdi, dalam satu kenyataan.
Narit menyatakan bahawa infrastruktur digital yang kukuh, sumber tenaga bersih, dan sokongan kerajaan yang mantap mencipta persekitaran ideal untuk pelaburan dalam pusat data dan sektor teknologi maju, termasuk pembuatan wafer.
Menurut BOI, permohonan untuk projek dalam industri yang disasarkan menyumbang 68 peratus daripada jumlah nilai pelaburan, yang diterajui sektor elektrik dan elektronik, sektor digital, sektor automotif dan alat ganti, serta sektor pertanian dan pemprosesan makanan.