KUALA LUMPUR, 31 Okt — Dua lagi individu termasuk seorang warga asing yang juga pengerusi syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian ditahan reman lima hari bermula hari ini. 

Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kedua-dua lelaki yang berusia 40-an hingga 50-an.

Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.

Sumber memaklumkan hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang juga pengurus bahagian promosi dan pemasaran pertubuhan itu telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan berkenaan.

“Pengerusi pertubuhan telah memberikan kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.

”Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini,” menurut sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a) Akta SPRM 2009. 

Sehingga hari ini, seramai tiga individu telah ditahan SPRM termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang ditahan reman semalam hingga 2 Nov berhubung kes yang sama. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here