JAKARTA, 1 Nov — Presiden Prabowo Subianto dijadual menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada 6 Nov dalam satu pertemuan penting bagi membincangkan isu-isu utama yang menjadi kepentingan bersama bagi kedua-dua negara serta ASEAN, menurut laporan media tempatan.

“Isu-isu yang akan dibincangkan sedang dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak melalui pelbagai kementerian dan agensi berkaitan,” CNBC Indonesia memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Rolliansyah Soemirat.

Rolliansyah memaklumkan bahawa pertemuan antara pemimpin itu akan didahului dengan mesyuarat di peringkat menteri luar pada 5 Nov.

Menurut laporan, Prabowo juga dijadual memulakan lawatan kerja ke luar negara buat kali pertama minggu depan, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru dari 13 hingga 16 Nov dan Sidang Kemuncak G20 di Brazil pada 18 dan 19 Nov.

Mengenai BRICS, Rolliansyah menyatakan bahawa Indonesia kini diklasifikasikan sebagai “Negara Berminat”, menunjukkan hasratnya untuk menyertai kumpulan itu.

Indonesia menyuarakan minatnya untuk menyertai BRICS dalam kenyataan negara semasa Sidang Kemuncak BRICS Plus di Kazan, Rusia baru-baru ini, dan proses permohonan keahlian telah dimulakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here