SHANGHAI, 6 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata minat dan kecenderungan pelabur dan syarikat dari China terhadap Malaysia dilihat semakin meningkat.

“Ini satu perkembangan yang sangat positif,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan sesi meja bulat dengan lebih 20 pemimpin industri, di bandaraya ini. 

Anwar berkata sesi tersebut membincangkan antara lainnya berkaitan dasar negara yang melibatkan peraturan dan juga pelaburan.

“Jadi saya lihat ada kecenderungan dan minat (pelabur dan syarikat) China yang meningkat,” kata beliau.

Ditanya tentang jumlah potensi pelaburan, Perdana Menteri menjawab ringkas, “Jumlah (pelaburan) esok kita umum.”

Anwar memulakan harinya dengan menghadiri sesi dialog dengan pelabur China anjuran Khazanah Nasional Bhd.

“Orang kata dalam bahasa.. melelahkan daripada pagi tak putus kita adakan pertemuan ini, tetapi saya fikir bermanfaat,” kata beliau.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berasingan berkata Anwar mengadakan perbincangan produktif bersama beberapa pelabur utama China pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke sini.

Antara pelabur terlibat termasuklah Chengwei Capital, firma modal teroka terkemuka yang memiliki kepakaran dan sumber semikonduktor global dan NRL Capital, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pembangunan kelompok industri berteknologi tinggi di China.

PMO berkata perbincangan tertumpu kepada kepentingan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dengan ketersediaan tenaga kerja berbakat kita dan dasar Kerajaan yang menyokong.

Selain itu, Perdana Menteri turut membincangkan potensi kerjasama berkaitan pelaburan teknologi dan inovasi ke Malaysia bersama para pelabur tersebut.

“Pelabur ini akan bekerjasama dengan Khazanah membina syarikat generasi akan datang Malaysia untuk meningkatkan lagi kekuatan Malaysia dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

“Ini akan memacu visi Ekonomi Madani untuk menggalakkan inovasi dan menjadikan teknologi lebih mudah diakses dan inklusif kepada semua orang,” katanya.

Selain sesi dialog dan rundingan meja bulat, Perdana Menteri turut bertemu dengan wakil dari Bank of China, SinoChem, SICC Co Ltd, SEMCORP, dan Zhejiang Jiahua Energy Chemical Industry Co Ltd dalam mesyuarat perniagaan bersemuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here