KUALA LUMPUR, 7 Nov – Mahkamah Agung Perancis pada Rabu menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
“Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh Dr (Gonzalo) Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan yang memihak kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Azalina menyambut baik keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung Perancis itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.