KAMPAR, 12 Ogos — Kerajaan Negeri Perak akan mengumumkan khabar gembira buat pengusaha industri pelancongan menerusi bantuan dan inisiatif bagi memulihkan kembali sektor pelancongan di negeri ini tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan dalam sektor pelancongan, akibat pandemik. 

“Sebelum ini kerajaan negeri telah memberikan bantuan secara sekali bayar termasuk pemberian subsidi kepada sektor pelancongan dalam beberapa Pakej Rangsangan Ekonomi,” katanya selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah di Kampung Changkat Tin di sini hari ini.

Nolee Ashilin yang juga ADUN Tualang Sekah berkata bantuan itu diharapkan dapat membantu memulihkan semula industri pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat pelaksanaan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, beliau turut meminta pengusaha pelancongan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan perkhidmatan pelancongan kepada para pelancong yang berkunjung ke destinasi pelancongan berkenaan.

“Langkah berhati-hati perlu diambil bagi memastikan keselamatan pekerja sektor pelancongan dan pelancong, sekali gus Perak kekal sebagai destinasi yang selamat dan sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here