BACHOK, 16 Sept — Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang giat melakukan persiapan untuk menerima kemasukan seramai 6,078 pelajar sesi akademik 2021/2022 ke tiga kampus universiti itu bermula 15 Okt depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata proses kemasukan pelajar ke kampus UMK di Bachok, Pengkalan Chepa dan Jeli itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Bilangan pelajar yang akan dibenarkan hadir masih tertakluk kepada kapasiti asrama yang telah ditetapkan oleh pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk kesemua kampus.

“Untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran, UMK bersetuju supaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi sesi akademik 2021/2022 dilaksanakan secara hibrid selaras dengan Pekeliling Akademik Bilangan 5/2021-Pemakluman Mengenai PdP Bagi Sesi Akademik 2021/2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan ke kampus adalah pelajar praktikal daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel serta peralatan khas.

“Turut dibenarkan, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian, pelajar asasi atau setara dan diploma yang telah sedia ada di kampus, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, pelajar berkeperluan khas (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional. 

“Sehubungan itu, pelajar UMK yang berhasrat untuk masuk ke kampus perlu memenuhi syarat seperti telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan kebenaran masuk akan ditentukan oleh pihak fakulti. Selain itu, kadar pengiraan kapasiti asrama juga mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) penjarakan dan kuarantin,” katanya. 

Nik Maheran berkata pendaftaran pelajar baharu bagi sesi akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara dalam talian pada 2 Okt depan manakala kelas bagi pelajar baharu dan kanan akan bermula pada 10 Okt.

Katanya, UMK juga mempunyai pelan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran dalam talian (PdPDT) fasa ke-4 yang dirancang iaitu pembelajaran dalam talian sepenuhnya menggunakan platform rasmi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) eCampus untuk semua kursus yang tidak memerlukan bersemuka kecuali PdP yang melibatkan makmal, bengkel dan studio. 

“Pembelajaran Teradun Gantian masih boleh dilaksanakan dengan maksimum 80 peratus dalam talian dan 20 peratus secara bersemuka selain kehadiran secara fizikal ke UMK adalah tertakluk kepada pekeliling dan arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Keselamatan Negara serta universiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here