KUCHING, 30 Okt  — Lima laman Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang menyediakan akses Internet tanpa had berkelajuan 20Mbps dilancarkan di Lawas, Limbang dalam usaha menambah baik rangkaian komunikasi di kawasan itu. 

Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran di bawah inisiatif Sarawak Multimedia Authority Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) itu membabitkan pembinaan 25 menara telekomunikasi di Lawas bagi meningkatkan liputan Internet daripada 72.4 peratus kepada 92.1 peratus di kawasan berpenghuni menjelang akhir 2022.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dijangka melancarkan inisiatif SALURAN-MySRBN itu di Kampung Tengah, Trusan di Lawas esok,” menurut kenyataan itu. 

Turut dijangka hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari, dan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.

Menurut SMA, inisiatif itu dilaksana menerusi kerjasama pihaknya dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) .

Katanya antara objektif inisiatif itu ialah meluaskan lagi liputan di kawasan luar bandar dan separa bandar supaya rakyat dapat menikmati rangkaian komunikasi yang lebih baik sekali gus berpeluang menyertai ekonomi digital.

“Fokus utama kerajaan negeri melalui Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 adalah untuk meningkatkan kebolehcapaian serta mengurangkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Dasar keterangkuman ini akan menyediakan akses Internet yang lebih luas dan menjadikan Sarawak sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu juga menyebut bagi seluruh Sarawak, sebanyak 300 menara akan dibina pada suku pertama tahun depan dan 300 lagi disiapkan menjelang akhir 2022 manakala 636 ditauliahkan awal tahun depan di bawah inisiatif Rangkaian Digital Kebangsaan (JENDELA) yang dilaksanakan oleh MCMC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here