ALOR SETAR, 10 Dis — Destinasi pelancongan terkenal, Langkawi, cemerlang pada Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2021 yang berlangsung malam tadi apabila meraih enam anugerah.

Lima kategori anugerah diterima pemain industri di pulau peranginan itu iaitu Langkawi Skycab (Panorama Langkawi Sdn Bhd) yang dianugerahkan ‘Kereta Kabel Terbaik di Malaysia’ manakala Langsura Geopark Sdn Bhd menerima dua anugerah iaitu ‘Restoran Masakan dan Warisan Melayu Terbaik’ dan ‘Destinasi Mesra Alam Terbaik’.

Nadias Hotel Langkawi dan Adya Hotel Langkawi pula masing-masing menerima anugerah ‘Hotel Tiga Bintang Terbaik (Pemandangan Laut)’ dan ‘Hotel Patuh Syariah Terbaik’, sementara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerima ‘Anugerah Khas Inisiatif Gelembung Pelancongan’.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata anugerah-anugerah tersebut dilihat dapat menaikkan nama Langkawi sebagai destinasi pilihan bukan sahaja untuk pelancongan domestik tetapi juga antarabangsa.

“Usaha bagi mengembalikan kegemilangan industri pelancongan pulau ini akan terus dilaksanakan demi kelangsungan ekonomi Langkawi. Diharapkan anugerah ini dapat memberi inspirasi kepada pemain industri di Langkawi untuk sama-sama memartabatkan sektor pelancongan pulau legenda ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor itu menawarkan 46 anugerah kepada pemain industri pelancongan di Malaysia bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan dalam memperkasa industri pelancongan negara. 

Sementara itu, Nasaruddin berkata kedatangan pelancong ke Langkawi dijangka terus meningkat pada tahun depan susulan trend positif kemasukan pelancong sejak projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dilaksanakan mulai 16 Sept lepas.

“Mulai 16 Sept hingga 5 Dis lepas, kedatangan pelancong ke Langkawi telah mencapai 472,572 orang dengan pendapatan pelancongan yang telah dijana berjumlah RM487 juta.

“Jika dilihat, trend kemasukan pelancong ke Langkawi sentiasa meningkat setiap bulan bermula September lepas dan ini menunjukkan bahawa Langkawi mempunyai potensi besar untuk menyinar setelah sekian lama sunyi daripada kemeriahan pelancong akibat pandemik COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here