KUALA LUMPUR, 13 Dis  — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menganggarkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun diperlukan jika Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM3.50 sekilogram. 

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata anggaran tersebut adalah berdasarkan pengeluaran pekebun kecil getah berjumlah 500,000 tan setahun dan purata harga di ladang di bawah RM2.50 sekilogram. 

“Jumlah peruntukan IPG ini dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan yang mendadak jauh di bawah PHP IPG.

“Oleh itu, kerajaan perlu benar-benar memperhalusi cadangan kenaikan PHP IPG bagi mengelakkan beban kewangan lebih besar kepada kerajaan di samping menjaga kebajikan pekebun kecil serta industri getah negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang meminta kementerian menyatakan langkah menaikkan industri getah dan pendapatan penoreh getah dengan kewajaran menaikkan harga lantai IPG dari RM2.50 kepada RM3 sekilogram.

IPG adalah insentif yang disediakan kerajaan untuk meringankan beban ekonomi pekebun kecil getah kesan daripada kejatuhan harga getah.

Pelaksanaan IPG juga bertujuan memberi galakan kepada pekebun kecil agar terus menoreh bagi menjamin bekalan getah domestik bagi memenuhi keperluan sektor pemprosesan dan hiliran getah negara.

Jeck Seng berkata pada 2020, pengeluaran getah negara berjumlah 514,702 tan dengan 458,281 tan atau 89 peratus dihasilkan oleh pekebun kecil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here