KUANTAN, 4 Jan  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus mempergiatkan rondaan walaupun berdepan cuaca buruk dan laut bergelora sepanjang musim monsun bagi mengekang kegiatan jenayah di perairan negara. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Datuk Kamaruszaman Abu Hassan berkata cuaca buruk dilihat tidak menghalang kegiatan penyeludupan rokok dan dadah serta pencerobohan bot nelayan asing menangkap ikan berdasarkan aduan yang diterima kebelakangan ini. 

“Mereka dipercayai berada di sempadan perairan negara dan mengambil peluang menceroboh apabila melihat pihak berkuasa tiada di sana dan bila aset kita melakukan rondaan, pihak terlibat akan segera kembali ke sempadan perairan mereka untuk mengelak daripada ditangkap,” katanya. 

Kamaruszaman berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia negeri Pahang antara Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud yang bersara wajib kepada Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh di Pejabat APMM Pahang di sini hari ini. 

Selain itu, Kamaruszaman berkata APMM Pahang telah melakukan 5,633 pemeriksaan di laut dan merekodkan 28 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan antaranya berkaitan dadah, pencerobohan bot nelayan asing dan kesalahan melibatkan nelayan tempatan seperti menggunakan bubu naga.

Tugas mencari dan menyelamat yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pula merekodkan 29 kes sepanjang tahun lepas yang melibatkan perairan Pantai Timur dengan majoriti kes melibatkan bot nelayan tempatan yang berhadapan kesukaran akibat cuaca dan keadaan laut bergelora. 

Untuk 2021 juga, APMM Pahang telah melupuskan enam bot nelayan asing yang ditangkap menceroboh perairan negara, dengan menjadikannya sebagai tukun tiruan di sekitar Pulau Susu Dara di Besut, Terengganu dan Teluk Tekek di Pulau Tioman, Rompin. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here