KUALA LUMPUR, 11 Mac — Tiada sebarang aktiviti pembalakan dan pengosongan tanah yang mendorong kepada kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Khamis, sebaliknya ia disebabkan pergerakan tanah atas bukit di kawasan itu susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata hasil tinjauan mendapati kawasan kejadian adalah zon lapang dan tiada sebarang aduan aktiviti mencurigakan membabitkan kawasan itu. 

“Sebelum ini kita ada menerima laporan di kawasan sejauh empat kilometer dari lokasi iaitu di Taman Permai, tetapi tiada aduan diterima di kawasan ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini. 

Amirudin berkata penghuni di 48 rumah membabitkan empat lorong di kawasan taman perumahan tersebut diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing sehingga tahap keselamatan diumumkan.

Beliau berkata lima hari secara maksimum diperlukan pihak berkuasa sebelum membenarkan penduduk kembali ke rumah masing-masing. 

“Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian terperinci dalam tempoh dua hingga tiga hari ini untuk mengenal pasti sama ada kawasan ini selamat diduduki atau tidak. Buat masa ini, pemasangan kanvas akan dilakukan bagi mengelakkan pergerakan tanah terutama ketika hujan dan sebagainya,” katanya. 

Sementara itu, Amirudin berkata waris mangsa tanah runtuh yang meninggal dunia akan  menerima sumbangan RM10,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor, selain turut mempertimbangkan bantuan kewangan kepada penghuni kediaman yang turut terjejas akibat kejadian itu. 

“Kalau ikut format biasa sebelum ini bantuan sebanyak RM500 tetapi saya pertimbangkan semula jika perlu tambahan atau bagaimana,” katanya. 

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada pukul 5.54 petang Khamis meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here