BEIJING, 20 Mei —   China giat berkomunikasi dengan negara-negara anggota BRICS dan menyeru pelbagai negara bekerjasama dan bersatu padu memelihara multilateralisme serta bersama menggalakkan kedamaian dan pembangunan.

Menteri Luar China, Wang Yi dalam Pertemuan Menteri Luar Negara-Negara BRICS pada Khamis berkata, selaku pengerusi pertubuhan BRICS 2022, banyak aktiviti penting telah dilaksanakan selain menggalakkan kerjasama mencapai hasil dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Ketika menghadapi cabaran baharu dalam situasi antarabangsa, negara BRICS perlu terus berpegang kepada prinsip berkecuali, objektif dan adil, menyokong kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine mewujudkan kedamaian melalui dialog dan rundingan,” kata Wang.

Sementara itu, Menteri Luar Brazil, Carlos Franca berkata Brazil menyokong usaha China dalam kerjasama negara BRICS dan yakin dengan pertubuhan ini dalam menghadapi cabaran dunia.

“Kerjasama negara BRICS merupakan contoh kerjasama bagi negara lain yang mampu memanfaatkan semua negara anggota, malah masyarakat antarabangsa,” tambah beliau.

Menteri Luar Afrika Selatan, Naledi Pandor berpendapat bahawa kerjasama negara BRICS yang semakin meningkat membawa manfaat besar kepada rakyat, sekali gus memperlihatkan kepentingan dan nilai bersama semakin diperluas. 

Bagi Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pula, walaupun iklim politik antarabangsa kurang baik, tetapi negara BRICS tetap memperkasakan kerjasama berkaitan, berusaha memainkan peranan pimpinan untuk menangani isu antarabangsa.

Menteri Luar India, S. Jaishankar turut menyeru pelbagai negara berusaha bersama untuk memelihara multilateralisme.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here