PUTRAJAYA, 29 Julai — Persiapan bagi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya di sini esok berjalan lancar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata persiapan sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) selaku urus setia program itu dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menjayakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

“Saya berpuas hari dengan persiapan dan raptai yang dibuat hari ini dan kita amat alu-alukan kedatangan Keluarga Malaysia untuk semarakkan lagi pelancaran Bulan Kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, Mohammad berharap cuaca di Putrajaya esok baik memandangkan terdapat banyak aktiviti menarik akan diadakan antaranya program Berjalan Teguh Bersama dan persembahan pancaragam.

“Kita doakan agar esok cuaca baik sebab ia perkara yang susah dijangka, kita ada plan B (jika hujan),” katanya tanpa mendedahkan ‘plan B’ berkenaan. 

Mohammad berkata lagu tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ akan diperdengarkan buat julung kalinya pada majlis pelancaran esok.

Tinjauan Bernama mendapati raptai pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 berlangsung dengan baik meskipun hujan renyai-renyai.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ di Dataran Putrajaya di sini esok akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Turut diadakan bersempena pelancaran itu adalah program Berjalan Teguh Bersama iaitu aktiviti berjalan kaki secara santai yang antaranya akan turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Program Berjalan Teguh Bersama itu akan bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman di sini dengan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertai aktiviti berjalan kaki tersebut.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendokong aspirasi Keluarga Malaysia.

Mohammad dalam pada itu berharap semua bangunan di Putrajaya khususnya bangunan kerajaan memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Saya juga telah meminta pelbagai pihak seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk sama-sama rangka laksana program untuk jayakan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here