PELABUHAN KLANG, 14 Ogos — Dua nelayan tempatan yang hilang kira-kira 48 jam sejak Khamis, ditemukan selamat petang semalam dalam keadaan keletihan di perairan Pulau Selat Kering, dekat sini.

Terdahulu kira-kira jam 9.50 pagi semalam, Pusat Operasi (PUSOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menerima aduan daripada pemilik bot selepas botnya yang digunakan nelayan terbabit tidak pulang ke pangkalan selepas keluar ke laut pada Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11 pagi berkenaan.

“Pihak kami mengatur gerak bot PERKASA 35 ke lokasi pencarian bot nelayan kelas A itu. Kira-kira jam 1 petang semalam, PUSOP Maritim Malaysia Negeri Selangor menerima pangilan daripada seorang nelayan tempatan memaklumkan penemuan bot itu.

“Bot berkenaan ditemui pada kedudukan 8.6 batu nautika barat Pulau Selat Kering. Dua lelaki tempatan berumur 37 dan 45 tahun ditemukan selamat, tetapi dalam keletihan. 

“Nelayan dan bot dibawa ke jeti Pulau Ketam oleh sebuah bot nelayan lain untuk pembaikan dengan diiring bot PERKASA 35. Operasi SAR ditamatkan pada jam 2.40 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, siasatan mendapati bot itu pada awalnya dinaiki tiga nelayan sebelum enjinnya mengalami kerosakan.

Katanya, seorang daripada mereka kemudian menumpang sebuah bot lain dengan membawa peralatan dalam enjin yang rosak ke jeti untuk dibaiki sebelum kembali semula ke bot dua rakannya itu, namun gagal mengesan mereka.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersedia dalam usaha memberikan bantuan kecemasan di laut walau apa jua keadaan. 

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kecemasan di laut, boleh hubungi PUSOP Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here