BEIJING, 16 Ogos — Bandar Tangshan, kawasan industri keluli utama di provinsi Hebei yang menyumbang sekitar satu perlapan daripada keseluruhan pengeluaran bagi sektor  itu di China.

Terletak kira-kira 180 kilometer (km) dari timur Beijing, Tangshan suatu ketika dahulu antara bandar yang mengalami pencemaran paling serius di negara ini.

Namun, keadaan kini berubah susulan tindakan pihak berkuasa tempatan yang giat mengambil beberapa inisiatif bagi menangani pencemaran yang berpunca daripada industri keluli.

Perubahan itu dilihat jelas menerusi dua gambar satelit yang diambil 10 tahun lalu dan gambar terkini kilang besi dan keluli Jinxi di Tangshan.

Kedua-dua gambar berkenaan memperlihatkan permukaan udara di kawasan kilang itu kini bersih tanpa diselubungi jerebu berbanding sebelum ini. 

Kilang besi dan keluli Jinxi menggunakan sistem pintar bagi menjalankan pemantauan terhadap pelepasan bahan pencemaran pada setiap masa. 

Jumlah pelepasan bahan pencemaran kilang pada masa ini hanya satu persepuluh jika dibandingkan pada tahun 2012.

Selain itu, pengubahsuaian struktur tenaga juga membantu meningkatkan kualiti udara di seluruh provinsi Hebei.

Menurut statistik, purata kepekatan PM2.5 di Hebei menurun kepada 38.8 mikrogram per meter padu pada 2021 daripada 108 mikrogram per meter padu pada 2013.

China kekal di kedudukan pertama dalam penjanaan elektrik dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui sepanjang sedekad lalu. Pada masa ini, satu pertiga kuasa elektrik yang digunakan rakyat China dijana menggunakan tenaga bersih.

Kualiti udara yang semakin baik turut membawa peluang baharu kepada sektor pelancongan, termasuk menawarkan pakej menikmati bintang.

Jumlah hotel dan rumah inap desa yang menawarkan pakej itu kini bertambah lebih 10 kali ganda berbanding 2013.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here