KUALA LUMPUR, 5 Sept — Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bertukar-tukar pandangan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan serta menegaskan semula kepentingan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Malaysia,” menurut kenyataan BNM yang dikongsi di platform media sosialnya.

Lawatan rasmi ini ialah yang pertama bagi Wong selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Jun 2022.

Dalam rangka lawatan empat harinya, Wong dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM267.11 bilion pada 2021, meningkat 25.2 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here