BAGAN DATUK, 16 Okt — Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal dinamakan sebagai “poster boy” Barisan Nasional (BN) dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian gabungan itu berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN berjaya mentadbir Putrajaya. 

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata berikutan ketetapan itu, tidak timbul soal beliau akan menjadi calon perdana menteri bagi BN selain menegaskan perkara yang dimainkan pihak tertentu berhubung perkata itu adalah tidak benar. 

“Kita sudah buat keputusan, di peringkat parti Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri  adalah muktamad seperti yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO. 

Perbuatan mereka (pihak tertentu) hanyalah mahu melaga-lagakan semua pihak khususnya komponen dalam BN selain cubaan memecahbelahkan UMNO kerana mereka tiada modal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini. 

Sebelum ini, terdapat kenyataan pihak tertentu yang mendakwa penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu akan dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya BN memenangi PRU15. 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan turut dilaporkan menafikan kenyataan yang mendakwa Ahmad Zahid dinamakan sebagai calon perdana menteri seperti tular di media sosial. 

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan daripada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa masih terdapat “kekeruhan” membelenggu UMNO melibatkan beberapa perkara antaranya isu rasuah yang belum selesai lebih kepada pandangan peribadi. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau yang sentiasa mendukung amalan demokrasi berparlimen, mengalu-alukan mana-mana individu berhasrat untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk pada PRU15.

“Negara kita mengamalkan demokrasi dan semua ahli politik mendukung perkara itu, saya jemput sesiapa jua yang layak untuk bertanding di sini. 

“Jika Mohamed Tawfik (Tun Dr Ismail) mahu ke Bagan Datuk maka saya persilakan kerana pada akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan dan sudah pasti mereka bijak untuk menilai yang mana intan ataupun kaca,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu sedia menentang Ahmad Zahid di mana sahaja Pengerusi BN itu bertanding termasuk di Bagan Datuk.

Mohamed Tawfik, yang merupakan pengasas Gerak Independent pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut di Johor, dari 1986 hingga 1990.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here