BENTONG, 1 Nov — DAP Pahang hari ini mengumumkan ia akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan dua daripadamya adalah calon muda. 

Pada majlis pengumuman calon DAP Pahang malam ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata mereka ialah peguam Muhammad Khairil Khalid, 33, yang akan bertanding di Pulau Manis dan pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang, 27, dinamakan untuk mempertahankan kerusi DUN milik parti itu. 

Selain itu, DAP juga menurunkan calon ‘heavyweight’ bagi mempertahankan kerusi DUN Ketari iaitu Thomas Su Keong Siong yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kampar dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP.

Empat lagi calon yang diumumkan hari ini pula akan mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU14 iaitu Woo Chee Wan (Mentakab), Leong Yu Man (Triang), Lee Chin Chen (Bilut) dan D. Kamache (Sabai). 

Selain itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang diumumkan akan bertanding di Parlimen Lipis, turut bertanding di DUN Tras, kerusi sebelum ini dimenangi parti itu.  

Pada Rabu lalu, DAP mengumumkan empat calon daripada parti tersebut akan bertanding di kerusi Parlimen di Pahang.

Selain Young Syefura Othman (Bentong) dan Tengku Zulpuri (Lipis), dua lagi calon, Chow Yu Hui bertanding di kerusi Parlimen Raub dan Chiong Yoke Keong (Cameron Highlands).

Loke dalam ucapannya berharap parti itu akan dapat mempertahankan tujuh kerusi DUN di Pahang dan merampas Parlimen Cameron Highlands dan Lipis, serta DUN Pulau Manis daripada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Muhammad Khairil, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor, ketika ditemui mengakui tugas berat menantinya memandangkan DUN Pulau Manis terletak di bawah Parlimen Pekan yang merupakan kubu kuat BN. 

Beliau yang menyertai politik pada 2013 juga pernah menjawat jawatan Pegawai Penyelidik Pejabat Speaker Selangor selama dua tahun mulai tahun 2014. 

Ho. yang masih bujang dan anak kelahiran Perak, pula berkata pengalamannya sebagai pegawai khas ADUN Tanah Rata sebelum ini adalah ‘bonus’ kepadanya kerana mengetahui selok belok kawasan tersebut. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 diadakan pada 19 Nov ini, dengan 5 Nov sebagai hari penamaan sementara pengundian awal pada 15 Nov ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here