KUALA LUMPUR, 2 Nov — Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran mengesahkan parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah payung Barisan Nasional (BN), sekali gus melenyapkan spekulasi kononnya MIC tidak akan bertanding pada pilihan raya kali ini.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MIC di ibu pejabat parti itu di sini hari ini, Vigneswaran menjelaskan mesyuarat itu diadakan bukan untuk membincangkan isu boikot PRU15, sebaliknya bagi memastikan ahli MIC faham hala tuju dan menerima sebarang keputusan berkaitan PRU15.

“Saya ingin memaklumkan, pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai calon-calon MIC adalah keputusan yang adil. Diharap nama (yang dicalonkan) menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka untuk kejayaan keluarga BN,” katanya.

Ahmad Zahid ketika pengumuman calon BN malam tadi berkata MIC akan bertanding di 10 kerusi Parlimen.

MIC akan diwakili oleh Vigneswaran di Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri M. Saravanan (Tapah), Datuk T. Mohan (Hulu Selangor), Datuk T. Murugiah (Teluk Intan), Datuk C. Sivarraajh (Padang Serai), Datuk A. Kohilan Pillay (Batu), Datuk Mohana Muniandy (Kuala Langat), Datuk P. Kamalanathan (Port Dickson), D. Kajendran (Kota Raja) dan Tan Sri M. Ramasamy (Segamat). 

Mengulas mengenai kemelut kerusi Parlimen Batu yang heboh diperkatakan ketika ini, Vigneswaran berkata parti itu tetap akan mempertaruhkan Kohilan biarpun MCA dilaporkan akan meletakkan Datuk Seri Yew Teong Look di kerusi berkenaan.

Apabila disoal lanjut mengenai perkara itu, Vigneswaran seolah-olah tidak tahu-menahu mengenai sebarang pertukaran calon terbaharu, seperti yang diumumkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pagi tadi.

“Pengumuman telah dibuat oleh Pengerusi BN semalam dan (saya anggap) ia merupakan keputusan muktamad. Kami akan bertanding di Batu. Saya juga sentiasa berhubung dengan Ahmad Zahid malah pagi tadi pun kita ada bercakap, namun tiada pemakluman mengenai pertukaran calon antara MIC dan MCA.

“Beliau tidak menyebut apa-apa mengenai pertukaran calon Batu, saya rasa Zahid adalah orang terbaik menjawabnya (mengenai penukaran calon),” katanya.

Pada PRU14 lepas, kerusi Parlimen Batu dimenangi calon bebas yang disokong PKR, P. Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi. 

Sementara itu, Vigneswaran berkata MIC secara sebulat suara bersetuju dengan keputusan BN untuk memberikan empat kerusi kepada parti di bawah ‘Friends of BN’ iaitu Parti Makkal Sakti (MMSP), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan akan memastikan kejayaan calon-calon itu.

 Presiden Parti Makkal Sakti R. Thanenthiran diumumkan sebagai calon di Nibong Tebal, Presiden IPF Datuk T. Loganathan akan bertanding di Jelutong, manakala Presiden KIMMA Datuk Syed Ibrahim Kader di Parlimen Puchong dan Razalif Mohamad Zain dari PCM di Parlimen Bukit Bendera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here