SEMPORNA, 9 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Abd Aziz Mohd Ibno berkata jentera kempennya sudah menemui pengundi di lima pusat daerah mengundi (PDM) daripada keseluhan sembilan PDM di DUN itu.

Abd Aziz yang berkempen bersama jentera calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Semporna Nixon Abdul Habi berkata beliau yakin jentera kempennya dapat menemui pengundi di baki empat lagi PDM esok.

“Kempen peringkat pertama di DUN Bugaya hampir selesai,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Mesra, Mukim Simunul di sini hari ini.

Menurut Abd Aziz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, rata-rata penduduk yang ditemuinya setakat ini membangkitkan isu-isu tempatan terutama masalah bekalan air, jalan raya rosak, talian telefon dan internet yang buruk.

“…perkara ini akan diajukan kepada Datuk Seri Bung Moktar, beliau Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah,” katanya.

Beliau berkata Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah dijadual melancarkan Manifesto BN Semporna pada 14 Nov yang menawarkan perkara-perkara khusus buat penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Nixon yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Semporna yakin lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke daerah itu jika rakyat memberi mandat kepada beliau sebagai wakil rakyat Parlimen Semporna pada 19 Nov ini.

“Dari saya rambut hitam, sampai rambut putih tengok saja misalnya jalan (jambatan) Kampung Mesra ini jalan sempit, tidak teratur ada lubang sana sini,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen Semporna Nixon berdepan penyandang kerusi itu Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Arastam Pandorog (PH-PKR) dan Ab Rajik @ Ab Razak Ab Hamid (Pejuang).

Abd Aziz pula ditentang Arastam Pandorog (PH-PKR), Jamil Hamzah (Warisan), Karil Pg Kuraini (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Nazmawati Walli (Pejuang) dan calon Bebas Jufazli Shi Ahmad dalam persaingan enam penjuru bagi PRK DUN Bugaya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Bugaya dilaksanakan serentak dengan PRU15, juga menetapkan 15 Nov untuk pengundian awal dan 19 Nov sebagai hari pengundian. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here