KUALA LUMPUR, 3 Jan — Para ilmuan yang bernaung di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) diajak untuk bersama-sama membantu dan menyumbang kepakaran mereka dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook rasmi selepas menerima kunjungan delegasi dari MPN yang diketuai Pengerusinya Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin hari ini.

“Pastinya dengan kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah MPN, banyak data, kajian, penyelidikan dan idea yang mampu diangkat untuk pembangunan negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata selain itu, isu utama yang diangkat dalam perbincangan hari ini menjurus kepada pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya, melibatkan sektor pendidikan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya beliau menyambut baik pelbagai cadangan yang diberikan MPN pada pertemuan lebih dua jam itu, dan akan memastikan agensi di bawah kementeriannya terus diupayakan, khususnya dalam sektor TVET.

“Saya juga berharap sesi perkongsian dan meraikan pendapat dari para ilmuan ini akan terus diadakan kerana pertemuan seumpama ini adalah satu koridor baharu dalam usaha mendapatkan input terbaharu yang diperlukan di dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat.

“Insya-Allah kita berjumpa pada sesi yang akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here