KUALA LUMPUR, 10 Julai — Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berharap arkitek dan perunding yang terlibat dalam pembinaan hospital, akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menambah baik perancangan dan reka bentuk infrastruktur pada masa hadapan.

Dr Noor Hisham turut mencadangkan lima matlamat reka bentuk utama kemudahan penjagaan kesihatan masa hadapan yang perlu diberi perhatian, bagi membina infrastruktur kesihatan yang lebih baik.

“Reka bentuk utama yang pertama adalah menjadikan penjagaan tertumpu kepada pesakit dan keluarga sebagai sebahagian daripada proses rawatan kerana pesakit adalah sebab utama hospital dibina. Kedua, mengamalkan operasi yang cekap, keselamatan klinikal, hubungan yang berjalan dengan optimum, bernilai untuk wang dan kemudahan moden,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Dr Noor Hisham berkata reka bentuk ketiga ialah mempunyai fleksibiliti untuk pengembangan dan teknologi baharu manakala keempat adalah reka bentuk yang lestari, mengurangkan penggunaan tenaga, penggunaan 24 jam yang intensif dan penghunian tinggi dan terakhir ialah persekitaran pemulihan perlu merangkumi seni dan hospitaliti, bukan sekadar sains dan teknologi.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menyertai sesi webinar yang dihoskan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) mengenai mereka bentuk pusat kuarantin ke arah persekitaran yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here