KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menunjukkan perkembangan positif dalam usaha kembali menemui rentak permainan sebenarnya menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bermula Selasa ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann, berkata pemain nombor empat dunia itu memberikan komitmen yang baik sepanjang tempoh seminggu kem latihan pusat skuad negara bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Dia memberi komitmen yang baik untuk mencari rentak dalam perlawanan.

“Sebelum ini dia beritahu mahu fokus mencari rentak dan saya rasa ada kemajuan tetapi tempoh latihan pusat seminggu tidak lama namun cukup untuk dia mendapat elemen positif dan kita beri elemen diperlukannya seperti tempat latihan dan rakan sparring,” katanya.

Zii Jia berdepan permulaan musim yang hambar apabila tersingkir di pusingan pertama dan kedua dalam tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia, bulan lalu.

Dalam pada itu, Choong Hann memberitahu pihaknya belum memutuskan siapa yang akan bertanggungjawab berada di kerusi jurulatih ketika Zii Jia beraksi dalam perlawanan pada kejohanan di Dubai itu.

Katanya, perbincangan lebih mendalam dari semasa ke semasa akan dibuat dan semuanya bergantung kepada keselesaan pemain itu.

“Kita tengok nanti, siapa yang dia selesa dan segala-galanya bergantung kepada kehendak Zii Jia. Apa yang saya boleh katakan, mungkin kita sama-sama (jurulatih BAM dan Liew Daren) duduk di kerusi belakang gelanggang, atau juga tidak perlu ada jurulatih di belakang,” kata Choong Hann.

Pada BAMTC kali ini, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE dengan juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik layak saingan Piala Sudirman 2023 yang akan berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Selain Zii Jia, skuad turut menyenaraikan Leong Jun Hao bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Skuad negara akan membuka tirai kempen menentang UAE Selasa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here