KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan membolehkan negara menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat selain dapat mewujudkan kestabilan politik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia selari dengan hasrat Seri Paduka untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Seri Paduka yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, turut meminta semua pihak berlapang dada dengan hati terbuka untuk menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan; ihsan dan rahmah.

“Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here