KUALA LUMPUR, 14 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Turkiye malam ini untuk sokongan kepada negara tersebut yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Anwar berkata beliau pada mulanya enggan ke sana kerana kekangan tugas namun mempertimbangkan atas rayuan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. 

“Mulanya saya enggan, sebab Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dah hantar, hospital pun dah buka, namun atas semangat persahabatan, saya buat keputusan untuk ke sana,” kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini hari ini. 

“Saya pertimbangkan akan terbang ke sana malam ini untuk memberi sokongan moral, saya telah diminta Presiden untuk segera ke sana,” kata beliau. 

Anwar berkata pemergian sehari tersebut akan disertai oleh Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria.

Sehingga semalam bilangan kematian dilaporkan di Turkiye mencecah 31,643 orang dan 106,428 cedera manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here