MIRI, 18 Feb – Sudah tiba masanya untuk menjadikan ketersambungan ultra pantas 5G sebagai keutamaan bagi rakyat Sarawak, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang.

Beliau berkata ini akan menjadikan kelajuan 5G ultra pantas akhirnya relevan kepada pengguna akhir untuk mengurangkan jurang digital bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negeri itu.

“Pelajar di kawasan luar bandar memperoleh sebanyak mungkin ilmu pengetahuan daripada guru dan pensyarah yang baik secara dalam talian seperti pelajar di bandar atau bandar utama,” katanya.

Bercakap pada pameran teknologi 5G anjuran Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) di Curtin University di sini, beliau berkata ketersambungan ultra pantas boleh merapatkan jurang antara guru dan pelajar untuk menyampaikan pembelajaran jarak jauh yang berkualiti tinggi, masa nyata dan interaktif dalam bilik darjah yang didukung Metaverse menggunakan teknologi perkakasan Augmented Reality atau Virtual Reality (AR/VR).

“Adalah menjadi harapan saya agar aplikasi pendidikan generasi akan datang seperti yang kita saksikan di Curtin University tidak lama lagi akan dapat dilaksanakan di Sarawak. Saya juga tertarik dengan prospek mengaplikasikan teknologi ini dalam industri utama Sarawak,” katanya.

Liwan berkata pelaksanaan ketersambungan 5G akan menyumbang kepada pencapaian utama Sarawak dari segi ekonomi utama dan pekerjaan yang disokong dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) iaitu meningkatkan ekonomi negeri daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here