ALOR SETAR, 28 Feb – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata pemilihan UMNO yang sedang berlangsung ketika ini, dilihat akan memantapkan lagi jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan pada tahun ini.

Beliau berkata pihaknya percaya, ahli UMNO khususnya perwakilan yang mengundi dalam pemilihan itu, akan membuat keputusan ke arah untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemilihan UMNO akan lebih memantapkan lagi jentera pilihan raya antara PH dan juga BN, sebab saya percaya ahli UMNO akan membuat pemilihan ke arah untuk memastikan kemantapan Kerajaan Perpaduan ini, yang mana UMNO BN itu sebahagian Kerajaan Perpaduan.

“Saya tidak nampak pemilihan UMNO ini akan memberikan kesan negatif (terhadap persiapan menghadapi PRN), tetapi sebaliknya memberi kesan positif untuk PRN di enam negeri nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata PH Kedah akan menunggu keputusan dan garis panduan daripada Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang akan bermesyuarat pada 19 Mac ini sebelum mengadakan pembincangan secara rasmi dengan pemimpin BN Kedah, berkaitan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu untuk PRN Kedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here