PETALING JAYA, 20 Julai: Menteri Sumber Manusia M Saravanan percaya projek mega seperti Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan diisi pekerja tempatan susulan keputusan kementerian tidak membenarkan pekerja asing masuk sehingga hujung tahun untuk sektor tertentu.

Keputusan mengurangkan penglibatan pekerja asing dalam sektor tertentu, khususnya dalam sektor perkhidmatan, dibuat supaya kekosongan dapat diisi pekerja tempatan.

Katanya, pengurangan itu salah satu langkah mengatasi isu pengangguran.

“Disebabkan itu, dengan keadaan sebegini saya percaya projek seperti ECRL akan memberi peluang kepada pekerja tempatan dan akan memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Saravanan menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Maslan (PN-Pontian) yang bertanyakan tentang usaha kementerian mewujudkan peluang pekerjaan baru buat pekerja tempatan.

Terdahulu, menteri memaklumkan data terkini Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% pada Mei berbanding 5.0% pada April.

“DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5% hingga 5.5% pada tahun ini. Manakala, antara sektor pekerjaan yang paling terjejas adalah sektor pelancongan, pembuatan, dan perkhidmatan.

“Ini tidak terkecuali golongan bekerja sendiri, yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan. Kumpulan ini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Bagaimanapun, selepas PKP pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 10 Jun lalu, ekonomi memperoleh kembali momentumnya.

“Dalam jangka masa pendek, situasi tenaga buruh pada Jun lalu dianggar akan bertambah baik, manakala dalam tempoh jangka sederhana hingga separuh kedua 2020, pasaran buruh dijangka terus mengukuh.

“Sehingga 2 Jun, DOSM mendapati lebih kurang 12.7 juta atau 83.5% pekerja sudah mula bekerja berbanding 10.2 juta 67.2% pada 17 Mei,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here