JOHOR BAHRU, 21 Mac – Syarikat telekomunikasi Maxis dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) baru-baru ini menyumbang sebanyak 1,000 kotak makanan kepada keluarga mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor bagi meringankan beban mereka.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua kotak makanan diagih kepada ketua keluarga mengikut lokasi yang dikenal pasti oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) iaitu agensi di bawah KKD.

Menurut Maxis, sebanyak 200 kotak pertama telah diserahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kepada keluarga dari Kampung Sungai Tiram, Kampung Simpang Mados dan Kampung SC dalam satu majlis di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram di sini pada 13 Mac lepas.

Difahamkan, sukarelawan Maxis dari wilayah Selatan telah membantu mengagihkan kotak makanan ke kawasan tersebut bersama-sama JAPEN.

Fahmi memaklumkan KKD komited untuk terus menyalurkan bantuan kepada Johor dan beliau menghargai usaha syarikat korporat seperti Maxis dalam menghulurkan bantuan.

“Terdapat banyak keluarga yang sangat memerlukan bantuan termasuk barangan makanan… Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk saling membantu antara satu sama lain khususnya mereka yang memerlukan,” katanya.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha pula berkata syarikat itu menghargai usaha KKD dalam memacu inisiatif tersebut sekali gus menjaga kebajikan rakyat.

“Dengan begitu ramai yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan yang terjejas, kami komited untuk memainkan peranan dengan kerjasama kementerian bagi meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.

Maxis turut memaklumkan jurutera syarikat itu akan terus memantau prestasi rangkaian di kawasan terjejas dan telah mengambil inisiatif untuk memulihkan perkhidmatan jika perlu bagi mengurangkan gangguan sambungan.

“Ini termasuk penggunaan set penjana mudah alih yang mengalami gangguan elektrik, penggantian peralatan yang rosak akibat tapak yang tenggelam serta pemasangan WiFi percuma di beberapa pusat pemindahan sementara di Johor dan Pahang.

“Bagi kawasan yang tidak boleh diakses kerana risiko keselamatan, dron digunakan untuk penilaian udara sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan tapaknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here