KOTA SAMARAHAN, 21 Mac – Basikal buluh buatan Sarawak dijangka mula memasuki pasaran China tahun ini, kata Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Datuk Hashim Bojet.

Beliau berkata Pusaka akan membuat Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat China, Brook & Breeze manakala anak syarikat Pusaka akan diberi tanggungjawab mengeluarkan basikal buluh secara komersial bagi pasaran eksport ke Shanghai, China.

“Pada masa ini syarikat Brook & Breeze sudah mengeluarkan basikal buluh di pasaran China sejak 10 tahun lepas namun mereka tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian sijil Kursus Intensif Basikal Buluh di Kompleks Industri Perabot Pusaka.

Basikal buluh akan dibuat menggunakan buluh tempatan dikenali sebagai ‘Bambusa Nana’ yang kukuh dan buluh yang ditanam secara ladang di Sarawak, katanya.

Hashim berkata Brook & Breeze akan menentukan bilangan basikal buluh yang perlu dihasilkan untuk dieksport ke sana dengan harga dianggarkan US$3,000 seunit berbanding US$4,000 seunit yang dipasarkan syarikat itu pada masa ini.

Beliau berkata buat masa ini kompleks itu menjadi premis untuk pembuatan basikal berkenaan dan mampu mengeluarkan 50 unit sebulan.

Susulan perancangan untuk mengeksport ke negara tembok besar itu, kapasiti pengeluaran basikal buluh akan dipertingkatkan lagi, katanya.

“Ini (pencapaian mengeluarkan basikal buluh untuk eksport) juga seiring dengan sambutan 50 tahun Pusaka (tahun ini),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here