KUALA LUMPUR, 14 April – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mewujudkan Pusat Akademik Antarabangsa di empat universiti di China dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Naib Canselor UNITEN Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata Pusat Akademik Antarabangsa di Huanghe University, University Electronic Science and Technology China, Sichuan Jinjiang University dan Hubei University itu akan mengguna pakai silibus kurikulum UNITEN bermula September ini.

“Pusat Akademik Antarabangsa ini membuktikan China mengiktiraf kurikulum UNITEN yang memenuhi kehendak industri dan bertaraf antarabangsa.

“Bahkan, kebolehpasaran graduan UNITEN sebanyak 96.8 peratus memberi keyakinan kepada institusi pendidikan China untuk bekerjasama dengan lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, Presiden Sichuan Jinjiang University Prof Yan Shijing berkata China komited dalam memastikan hubungan akademik antara UNITEN dan negara berkenaan berjalan secara berterusan.

“China akan mula menghantar pelajarnya untuk menyambung pengajian peringkat prasiswazah dan pascasiswazah di UNITEN dalam masa terdekat,” katanya.

UNITEN merupakan universiti pertama di Malaysia membuka pejabat luar pesisir di Pusat Perkhidmatan China bagi Pertukaran Ilmiah (CSCSE), Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China serta di enam universiti terkemuka seperti Harvard University, University of Barcelona dan National University of Singapore.

Sementara itu, 20 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara UNITEN dan 20 universiti di China pada Isnin lepas, melibatkan kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Inisiatif itu adalah berikutan daripada pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China Xi Jinping serta Perdana Menteri China Li Qiang di Beijing, baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here