PUTRAJAYA, 17 April – Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar hari ini menafikan laporan bahawa pejabat dan kediaman beliau digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam (Ahad).

“Tiada, tiada,” katanya. 

Sivakumar yang ditemui pemberita selepas majlis pra-pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di sini hari ini berkata, semalam beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di sini untuk memberi kenyataan.

“Saya tidak ditahan. Saya ke sana (SPRM) semata-mata untuk memberikan kenyataan, jadi saya kata akan bagi kerjasama,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM untuk memberi kenyataan, Sivakumar berkata: “Tak ada”.

Sivakumar menegaskan beliau dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

“Biar mereka (SPRM) buat siasatan. (Ia) masih dalam proses siasatan dan kalau apa-apa kita akan bagi  kerjasama yang penuh, itu sahaja,” katanya.

Sivakumar menjadi tumpuan baru-baru ini susulan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here