SEPANG, 29 April – Seorang daripada 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari lokasi konflik di Khartoum, Sudan, M.Innaci Dass, 58, menyifatkan pengalaman terperangkap di pangsapurinya selama enam hari tanpa bekalan elektrik dan bunyi tembakan berterusan sebagai kejadian sangat traumatik.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga ketua pegawai sumber manusia di syarikat perlombongan emas RIDA Group, yang berpangkalan di Sudan itu berkata semasa tempoh ‘terperangkap’ dari 15 hingga 20 April lepas, beliau gelisah memikirkan nyawanya dalam bahaya selain tidak tahu apa yang akan terjadi seterusnya dengan konflik tanpa henti di Khartoum.

“Saya tinggal di kawasan yang sangat sesak di kawasan krisis berlaku. Bagaimanapun saya bernasib baik kerana pangsapuri saya terlindung oleh bangunan lain yang mengurangkan risiko peluru sesat menembusi tingkap atau dinding rumah,” katanya.

Innaci Dass antara 30 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, yang diselamatkan dari Khartoum dengan kesemuanya tiba di KLIA kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.  

Bapa kepada dua anak itu berkata dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, seorang pemandu tempatan warga Sudan ditugaskan untuk menyelamatkan beliau dari pangsapuri itu pada 21 April, namun beliau terpaksa berjalan kira-kira 800 meter untuk ke kereta dan melepasi kawasan krisis, yang beliau menyaksikan peluru berteraburan di atas tanah berserta bunyi tembakan.

“Sepanjang menuju ke kereta, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu berani dan berserah kepada tuhan. Dengan keyakinan itu, saya berjaya berjumpa pemandu yang kemudian membawa saya dengan selamat ke Rumah Malaysia, tanpa sebarang halangan,” katanya.

Berkongsikan pengalaman, Innaci Dass berkata perjalanan sejauh 1,233 kilometer dari Khartoum ke Port Sudan, yang mengambil masa 30 jam amat mencemaskan dengan begitu banyak sekatan jalan raya dan di satu sekatan jalan raya, pasport mereka dirampas namun dengan bantuan pemandu tempatan berikutan masalah bahasa, mereka akhirnya mendapat semula dokumen berkenaan.

Menurut Innaci Dass, apabila selamat tiba di tanah air, fikiran beliau melayang terhadap rakyat Sudan kerana mereka berada dalam keadaan yang sangat sukar, terkandas di tanah air sendiri tanpa bantuan yang sewajarnya.

“Mereka tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi mereka terbunuh dalam peperangan yang tidak sepatutnya ini. Saya memiliki 1,000 pekerja di sana (RIDA Group)  dan saya bimbang nasib mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang aktivis kemanusiaan di World Vision Sudan, Jessica Chong, 39, berharap keadaan di Sudan akan bertambah baik.

“Saya berharap dapat kembali ke Sudan apabila segala-galanya berakhir dengan aman untuk meneruskan kerja saya,” katanya.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here