KUALA LUMPUR, 13 Jun – Isu berkaitan kebajikan dan pemerkasaan hak asasi kanak-kanak adalah antara perkara yang diketengahkan oleh Ahli Parlimen pada perbahasan usul Laporan Tahunan 2022 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mencadangkan agar penahanan imigresen terhadap kanak-kanak dan keluarga pelarian dihentikan dengan pelaksanaan inisiatif seperti program rintis Alternative to Detention (ATD) yang pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini. 

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Dalam Negeri perlu melaksanakan program ATD dengan segera dan menyemak semua skop dan kriteria program itu bagi menambah resolusi lain, selain hantar pulang (pelarian).

“Kenapa kita perlu hentikan penahanan kanak-kanak di Depot Tahanan Imigresen, kerana ia berbahaya kepada kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak itu, sekali gus memberi kesan berpanjangan kepada mereka yang berkeluarga atau bersendirian.

“Selain itu, ia turut menjejaskan ekonomi kita, tahanan imigresen adalah 90 peratus lebih mahal berbanding program jagaan alternatif yang memberikan perlindungan dan penjagaan kepada komuniti kanak-kanak dan pelarian di Malaysia,” katanya.

Berhubung isu kewarganegaraan kanak-kanak, Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) berkata perkahwinan secara adat dalam kalangan Orang Asli di Sabah dan Sarawak menyebabkan anak-anak yang lahir tidak didaftarkan, dan keadaan itu mengundang kepada masalah kewarganegaraan terus berlanjutan.

“Mereka yang tiada dokumen kelahiran terus dinafikan kewarganegaraan walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang canggih yang ada pada hari ini mampu mengesahkan pertalian darah mereka dengan ibu atau bapa atau saudara terdekat.

“Anak kepada ibu yang merupakan warganegara terus dinafikan hak untuk mendapatkan kerakyatan sebab undang-undang kita memihak kepada bapa sahaja dan bukannya ibu,” katanya.

Namun beliau berkata ini tidak bermakna Menteri Dalam Negeri tidak boleh menggunakan kuasanya untuk meminda peraturan untuk memudahkan proses atau sekurang-kurangnya menggunakan budi bicaranya.

Dalam sesi sama, Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata syor yang dikemukakan SUHAKAM dalam memperkasakan Majlis Kanak-kanak Kebangsaan wajar diberi perhatian dengan menambah bilangan keahlian daripada wakil kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here