JOHOR BAHRU, 22 Jun – Johor yakin dapat mengulangi prestasi pelaburan cemerlang yang diraih pada tahun lepas, sekali gus menjadi antara negeri penyumbang tertinggi bagi pelaburan dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han berkata ini bersandarkan rekod aliran masuk pelaburan ke Johor bagi tempoh suku pertama tahun ini sebanyak RM10.6 bilion dan di kedudukan kedua tertinggi dalam negara.

Malah, katanya, keyakinan itu turut berdasarkan beberapa projek pembangunan ekonomi yang telah dirangka ketika ini.

“Kita memang mendengar pandangan pelabur-pelabur yang yakin untuk menjalankan perniagaan di negeri ini berikutan kestabilan politik.

“Jika tahun lepas Johor di tempat pertama dan di kedudukan kedua bagi suku pertama 2023, (namun) berdasarkan senarai projek, kita agak yakin (prestasi pelaburan) adalah lebih baik bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan Johor dapat mengulangi prestasi pelaburan tertinggi negara pada tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz baru-baru ini menyatakan bahawa Johor telah mencatat jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM10.6 bilion bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Pencapaian tersebut merupakan peningkatan sebanyak tiga kali berbanding suku pertama 2022 yang mencecah RM3.2 bilion bagi jumlah pelaburan diluluskan.

Onn Hafiz juga yakin Johor berada di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian 2022 sebagai negeri mencatatkan nilai pelaburan tertinggi negara dengan jumlah RM70.6 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here