IPOH, 16 Julai – Lebih 5,000 peserta berkongsi keterujaan menyertai program 6,600 Langkah Perpaduan bersempena dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.

Seawal pukul 5.30 pagi, peserta yang mendaftar telah hadir untuk mengesahkan penyertaan dan mendapatkan kemeja-T percuma di pusat pendaftaran di sini.

Pelepasan program itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Terdahulu, Fahmi menyertai peserta dalam sesi regangan bersama ikon pempengaruh program berkenaan Usop Wilcha.

Acara yang bermula pada 6.30 pagi itu terbahagi kepada dua kategori iaitu fun run sejauh 4.5 kilometer (km), penyertaan terbuka dan fun walk 1.5 km bagi warga emas, kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Konsep 6,600 langkah dipilih sebagai simbolik dengan Hari Kebangsaan yang disambut kali ke-66 tahun ini.

Program itu adalah antara aktiviti menarik yang diatur bersempena dengan pelancaran itu di samping pelbagai aktiviti lain termasuk Jualan Rahmah, pameran reruai agensi kerajaan, pertandingan bintang patriotik, kuiz kenegaraan dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Polis Diraja Malaysia pula membuka kaunter bayaran saman yang menawarkan pengurangan saman terpilih sebanyak 50 peratus bermula 8.30 pagi hingga 3 petang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melancarkan acara itu. 

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept berlangsung di Kuching, Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here