KUALA LUMPUR, 22 Julai – Rakyat Sarawak wajar merenung kembali kisah perjuangan para pejuang terdahulu, menghargai warisan ditinggalkan mereka dan memberi penghormatan atas nilai-nilai diterapkan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sempena sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka atau Hari Sarawak 2023, beliau menarik perhatian bahawa sambutan ini mempunyai erti tersendiri dan bermakna kerana ia mengingatkan akan pengorbanan orang tua dan nenek moyang dalam memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negeri itu.

“Terima kasih kepada para pejuang dan pemimpin terdahulu sehinggalah sekarang yang telah membentuk Sarawak sepertimana Sarawak yang ada pada hari ini. Kepercayaan, keringat, dan perjuangan mereka yang terdahulu telah menginspirasikan kita untuk meneruskan legasi mereka.

“Kita diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian, memastikan negara selamat serta menjamin kestabilan dan perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perjalanan mencapai kemajuan dan kemakmuran bukan satu perkara mudah dan memerlukan usaha kolektif dengan kerjasama dan perpaduan semua kaum. 

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata dengan menelusuri jejak langkah pejuang terdahulu, warga negeri itu juga boleh membina visi dan berusaha ke arah masa depan Sarawak yang lebih gemilang.

Beliau turut mengajak rakyat negeri itu meneruskan perjuangan para pejuang terdahulu demi mewujudkan Sarawak yang aman, maju, makmur dan harmoni untuk diwarisi generasi akan datang.

“Hargai warisan dan budaya kita, raikan apa jua pencapaian kita namun sentiasalah bersiap siaga untuk mendepani cabaran yang mendatang.

“Rebutlah peluang yang ada di hadapan, sambil menghormati masa lalu dan terus memperkasa masa kini. Moga semangat kebersamaan akan terus mengalir dalam diri dan jiwa kita semua,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat Bumi Kenyalang itu memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan, meraikan perbezaan dan pertahankan identiti bersama sebagai rakyat Sarawak. 

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran Facebook berkata sambutan Hari Sarawak menuntut setiap rakyat menghargai kepayahan pejuang Bumi Kenyalang terdahulu dan memahami erti kemerdekaan yang dicapai dengan penuh kepayahan.

Beliau berkata erti sebenar kemerdekaan tidak hanya terbatas kepada kebebasan dari penjajah namun ia juga mencakupi usaha untuk memerdekakan diri, masyarakat dan negara daripada isu yang lebih mencabar seperti belenggu kemiskinan, pendidikan, ekonomi, sosial, pembangunan dan sebagainya. 

“Pejuang-pejuang kita yang terdahulu bukan sahaja berkorban di medan perang tetapi mereka juga telah melihat ke hadapan, merintis dan memperjuangkan nasib anak-anak Sarawak dalam pelbagai perspektif merangkumi sudut ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, kesihatan, sukan dan sebagainya. 

“Kini, semuanya terserah kepada kita untuk meneruskan pengisian perjuangan ini ke tahap lebih tinggi. Kalau bukan kita, siapa lagi?” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here