KOTA BHARU, 28 Julai – Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bakal memperkenalkan penanaman kenaf kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang, sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi mereka.

Pengerusinya Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata usaha itu akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos depan.

“Cadangan melibatkan komuniti berkenaan masih dalam proses penilaian dan penelitian bersama pemimpin-pemimpin setempat termasuk Tok Batin. 

“Saya sendiri akan masuk ke kawasan Orang Asli di Gua Musang pada September ini bagi melihat perkara-perkara berkaitan sebelum penanaman kenaf dilakukan,” katanya.

Wan Abd Rahim berkata pihaknya akan meneliti semua aspek berkaitan pelaksanaan penanaman itu termasuklah kesesuaian tanah dan bentuk muka bumi di kawasan penempatan mereka.

Katanya, keadaan muka bumi perlu diambil kira bagi memastikan jentera menuai boleh dibawa masuk dan digunakan di kawasan penanaman.

“Perbincangan ke arah usaha itu turut mengambil kira pandangan daripada masyarakat itu sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here