PETALING JAYA, 3 Sept: Seorang ahli politik pembangkang menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk mencontohi bandar Barcelona di Sepanyol dalam menangani hartanah terbengkalai di negara ini, dengan menyatakan ia akan memanfaatkan mereka yang berpendapatan rendah.

Raja Kamarul Bahrin yang juga bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menggambarkan pendekatan Barcelona sebagai “suatu solusi yang amat dialu-alukan” untuk memenuhi kehendak golongan berpendapatan rendah berikutan tiada unit baharu yang dibina buat mereka sekarang.

Baru-baru ini jabatan perumahan Barcelona memberitahu syarikat hartanah, ia akan mengambil alih unit kosong mereka pada separuh harga pasaran dan menyewanya kepada kumpulan berpendapatan rendah jika mereka tidak dapat mencari penyewa dalam tempoh sebulan.

Raja Kamarul memberitahu FMT, itu adalah idea yang baik memandangkan “seluruh dunia jatuh” dalam pasaran perumahan.

Mengakui sukar untuk mendapatkan pemaju hartanah, katanya, pendekatan itu mempunyai 2 faedah: meningkatkan stok perumahan mampu milik dan menjimatkan wang kerajaan untuk membina rumah tersebut.

“Ini akan lebih murah bagi kerajaan kerana kos pembangunan telah meningkat mendadak,” katanya. “Mengapa tidak ambil sahaja bangunan yang sudah ada?”

Bagaimanapun, 2 pakar industri perumahan tidak bersetuju.

Noor Rosly dari Universiti Malaya, yang banyak menulis mengenai perumahan mampu milik di Malaysia berkata, kebanyakan hartanah terbengkalai adalah “sangat mewah” dan golongan berpendapatan rendah tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan.

“Biasanya, hartanah berada dalam kawasan utama. Sekiranya kerajaan membeli hartanah ini dan mendapatkan mereka dari kategori B40 tinggal di sana, saya tidak tahu kalau mereka boleh bertahan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tanggungjawab terletak pada pemaju untuk memindahkan unit yang tidak terjual bagi mengurangkan isu terbengkalai itu. “Kerajaan sepatutnya tidak campur tangan. Ini adalah masalah pemaju. Kita tidak boleh menggunakan duit pembayar cukai untuk menyelesaikannya.”

Sementara itu, menurut Michael Kong, yang memiliki syarikat perunding hartanah, kaedah digunakan Barcelona tidak akan menyelesaikan masalah di negara ini.

“Situasi di sini berbeza,” katanya kepada FMT.

Katanya, bukan kerana pilihan atau reka bentuk menyebabkan hartanah di Malaysia kosong. “Ini adalah kes terlebih bina, selalunya, di lokasi yang tidak dimahukan.”

Kong berkata, perkara itu bukan masalah pemaju yang tidak mahu menyewakan hartanah mereka tetapi kekurangan penyewa menyebabkan perbezaan tersebut.

“Menghukum tuan tanah atau pemilik kerana tidak dapat menyewa unit kosong mereka tampak seperti tidak adil,” katanya sambil menambah ini akan menjadikan situasi semakin sukar kepada pemaju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here