KUALA LUMPUR, 8 Okt – Polis Diraja Malaysia mengesahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sudah tiba di negara ini bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

 Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki terbabit tiba di negara ini tengah malam tadi, namun lokasi keberadaan Ng tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

“Saya sahkan, dia (Ng) sudah berada di negara ini,” katanya ringkas kepada Bernama.

Razaruddin berkata setakat ini, siasatan terhadap Ng dilakukan pihak berkuasa lain bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Difahamkan, Ng akan turut disiasat antaranya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata Ng dijangka tiba di Malaysia tengah malam tadi dan fokus kerajaan adalah untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes terbabit.

Pada Jumaat, media melaporkan Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB, akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here