KUALA LUMPUR, 13 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat dalam penggunaan EV.

Beliau berkata kerajaan sehubungan itu mengalu-alukan pelaburan sebanyak RM170 juta oleh syarikat-syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

Bagi mengalakkan penggunaan motorsikal elektrik, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dan skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

“Bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Bhd bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta,” kata Anwar di dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan juga kata beliau, turut bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas terhadap perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV bagi tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, usaha untuk menggalakkan pemasangan panel solar turut akan dipertingkatkan.

Anwar berkata kerajaan sedia melanjutkan tempoh tawaran program Meter Tenaga Bersih (NEM) sehingga 31 Disember, 2024 bagi mengalakkan lebih ramai memasang panel solar di premis-premis kediaman.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang membangunkan program pembelian balik panel solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum.

Pada masa yang sama, kerajaan menyeru syarikat untuk menawarkan model langganan “kos modal sifar” seperti yang ditawarkan oleh Gentari bagi kategori rumah kediaman, kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata Putrajaya akan dijadikan model bandar rendah karbon Malaysia.

“Kerajaan akan mula memasang panel solar di bumbung bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari. Pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here